Abah...!!!
Itulah panggilan yang diberikan. Ketika kecil, abah dan emak
merupakan orang yang paling rapat dengan saya. Abah dan emak juga adalah orang
yang paling penting dalam kehidupan saya. Apa sahaja yang ingin saya lakukan
pasti bergantung pada keizinan mereka.
Masih segar di ingatan saya...
Jika dahulu, lirikan tajam mata abah misalnya sudah boleh
membuatkan saya takut padanya. Kata-kata abah, "itu tak boleh"
menjadi pegangan saya hingga dewasa bergelar remaja.
Ayah, abah, walid, papa, daddy dan apa jua panggilan yang
diberikan merujuk lelaki yang bertanggungjawab dalam mengembang biak umat Nabi
Muhammad ke atas muka bumi ini. Sungguhpun di dalam Islam, kedudukan ibu jauh
lebih tinggi berbanding seorang bapa, namun hak sebagai seorang bapa juga perlu
diakui oleh anak-anak. Perlu diingat bahawa tiada mereka bererti tiadalah kita
di dunia ini...
Seorang lelaki bernama ayah sama juga seperti ibu, tidak
pernah jemu melayan anak-anak. Seboleh-bolehnya jika si anak meminta apa sahaja
pasti ayah akan berusaha untuk mendapatkannya. Itulah insan yang digelar
abah... Dalam meniti usia senjanya, mungkin seorang ayah mempunyai banyak masa
untuk mengenang kembali saat anak-anak membesar di tangannya. Dan kerana
itulah, abah sering terbawa-bawa oleh perasaannya. Sama juga seperti ibu. Jadi,
kita sebagai anak seharusnya janganlah melupai lelaki bernama abah itu. Budinya
cukup banyak. Jasanya tertunggak.
Kini saya menuntut di sebuah institusi ilmu di Selangor.
Masa pantas berlalu pergi, adakalanya menyebabkan hubungan sedia
ada kian menjadi dingin. Hambatan masa menyebabkan kehadiran seorang abah bagai
dilupakan. Kesibukan tugas sehari-hari menjarakkan lagi rasa kasih dan sayang
seorang ayah terhadap anaknya, sedangkan rindu saya bagaikan sudah tidak dapat
ditahan-tahan. Hati saya terdetik, "Kepada siapa saya hendak mengadu
selain daripada ibu?"
Abah, kalau abah terbaca nota ini. Saya harap abah akan lebih
memahami, dan selalu bersama saya... Hati saya terluka, abah... Ingin saja saya
meninggalkan bandar metropolitan ini dan pergi membawa diri mencari
ketenangan... Maafkan saya, Abah...
Salam Sayang,
Anak Abah...
No comments:
Post a Comment