Hari ini sudah melangkah 29 Ramadhan 1432H…
Bersyukur kepada ILLAHI kerana tanpa-Nya, ku mungkin tidak dapat melaksanakan ibadah puasa Ramadhan bagi tahun ini (1432H)… Syukur! Sepanjang 28 hari sebelum ini, ku dapat menyempurnakan ibadah puasa ku dengan sempurna tanpa ada apa-apa yang menghalang ku dari berpuasa.
Bagi orang mukmin, dia senatiasa berharap, berazam, bercita-cita dan berusaha agar hari ini akan lebih baik dari semalam dan esok akan lebih baik berbanding hari ini. Maka seluruh aspek kehidupan sentiasa ada peningkatan, terutama dalam soal-soal ibadah khusus. Kerana bagiku, ibadah khusus seperti sembahyang,puasa, wirid,zikir, doa dan lain-lain, berperanan mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.
Ku dapati bahawa orang mukmin yang hidupnya sentiasa melaksanakan perintah Allah S.W.T, sangat mengharapkan bantuan, bimbingan dan pimpinan Allah S.W.T. Yakni bagiku, amat penting dalam membuat kerja0kerja yang diperintahkan oleh Allah S.W.T disertai oleh bantuan Allah S.W.T. Bantuan Allah S.W.T berkait rapat dengan kedudukan hamba di sisi Allah S.W.T. Subaha-Allah… Benarlah kata orang, “Tidak akan berjaya, tiada nilai di sisi Allah S.W.T bagi mereka yang melupakanNYA”. Allah S.W.T tidak pandang, tidak tolong, tidak bantu orang yang jauh dari Allah S.W.T, lalai , leka dan lebih-lebih lagi kalau derhaka kepadanNYA. Masya-ALLAH…
Jadi, untuk terus mendapatkan pimpinan dan pembelaan dari Allah S.W.T, maka perlu hati sentiasa merintih, mengharap , memohon dan bergantung kepada Allah S.W.T. Kita sebagai Hamba-NYa perlu selalu muhasabah diri, mengkoreksi diri, membaiki diri dan memperbetulkan kesalahan diri. Ibadah pula, terutamanya sembahyang, bukan sahaja diperhalusi dari segi zahirnya bahkan dari sudut batinnya. Perlu hadirkan hati dengan rasa takut, bimbang, rindu, cinta, harap, gementar, hina diri, rasa dilihat, rasa didengar, rasa dikuasai dengan penuh penumpuan dalam sembahyang. Satu waktu yang luput amat rugi andainya sembahyang itu sekadar gerakan fizikal dan kosong dari segi batiniahnya. Sembahnyang seumpama itu tidak akan membakar dan menghancurkan sifat-sifat keji. Mungkin sekadar sah dan memperolehi pahala sahaja.
Tidak terkecuali juga dengan ibadah puasa Ramadhan yang hanya datang setahun sekali. Andainya luput puasa sebulan Ramadhan itu tanpa sebarang natijah, adalah amat merugikan dan terpaksa menunggu pula kedatangan Ramadhan tahun depan. Itupun sekiranya direzekikan oleh Allah S.W.T lanjutan usia hingga bertemu Ramadhan akan datang. Oleh itu bagiku, kita sebagai umat Islam perlu sangat bersikap serius terhadap bulan istimewa ini. Dan keistimewaan bulan Ramadhan ini bukan pada waktu makan minum dan berhari raya. Akan tetapi ianya bersifat maknawiyah. Sebab itu disebut bulan penuh barakah (berkat). Bulan berkat ini tiada langsung kaitannya dengan keistimewaan yang bersifat lahiriah atau fizikal.
Walaupun agak terlewat, marilah kita sama-sama menghayati Ramadhan agar ianya benar-benar menepati kehendak AllahS.W.T dan RasulNya dan terhindar dari kehendak nafsu dan Syaitan…
“Orang yang seronok berpuasa, Ramadhan ditunggu dengan kegembiraan dan sedih apabila tamat. Orang yang berpuasa seronok, terseksa jiwanya kerana kedatangan Ramadhan dan merasa lega dan gembira apabila ianya tamat.” Subhan-Allah…
Marilah kita mengubah tarbiah kita yang selama ini tidak tahu hala tujunya seperti kapal yang berlayar di lautan tanpa hala tuju demi mencapai keredhaan-NYA… Demi Allah, Demi diri kita sendiri dan seterusnya Demi kehidupan kita samaada kehidupan sekarang (duniawi) mahupun kahidupan akhir kita (akhirat)… Insya-Allah…
Sekian sahaja coretan dari dirku…
Salam Aidilfitri buat semua pembaca, Maaf Zahir dan Batin…
No comments:
Post a Comment